Entry: Ramadan 2009 Saturday, September 19, 2009



Ramadan kali ini buat pertama kalinya saya lalui tanpa abah, dan tahun ini juga adalah tahun ke lapan saya melalui Ramadan tanpa emak. Saya anak yatim piatu, begitu juga semua adik beradik saya. Sedih juga....ada orang kata sedih lagi kalau lahir-lahir tanpa emak dan abah tapi bagi saya tidak, sebab bila kita besar bersama emak dan abah, kita melihat banyak perkara, kita lalui banyak juga perkara bersama, kita nikmati hidup bersama, kita gembira dan sedih bersama...semua yang dilalui itu amat sukar kita lupakan. Kalau lahir tanpa ibu bapa...kita tak mengenali siapa mak dan abah..jadi kita tiada kenangan bersama untuk diingati...

Selama hidup saya, saya akui, saya lebih rapat dengan abah berbanding emak. Kawan-kawan saya tanya, mana gambar emak awak bila mereka terpandang wall paper laptop saya adalah gambar saya yang diapit oleh dua gambar abah saya. Saya jawab ringkas saja, "mak saya tak suka bergambar". Saya tak suka orang bertanya soalan begitu kepada saya tapi saya tak menyalahkan mereka dan soalan itupun tak salah mereka ajukan kepada saya. Mereka ingin tahu. Jelas sifat manusia memang selalu ingin tahu....

Walau apapun saya tetap sayangkan emak saya dan sayangkan abah saya juga...saya selalu berada bersama mereka ketika mereka masih hidup, dan saya juga selalu berada di tepi kubur mereka sesudah mereka meninggalkan saya. Semoga mereka berbahagia di alam 'sana'. Adik-adik saya pernah berkata," abah dah jumpa emak". Saya teringat suatu ketika dahulu, kawan-kawan abah pernah ceritakan kepada saya, mereka cuba menjodohkan abah dengan perempuan-perempuan lain...tapi abah jawab," kalau jumpa yang seperti emak saya, abah akan terima...". Hakikatnya tiada. Bagi abah, emak adalah yang terbaik...walaupun pernah sesekali kehidupan rumah tangga dilanda badai, taufan, ribut dan angin sepoi-sepoi bahasa..adat berumah tangga...sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula...... Penghargaan tidak semestinya ditunjuk-tunjukkan ..ada masanya kita cukup menghargai seseorang..tapi kita simpankan dalam hati...bagi saya itu lebih bermakna. Abah jenis yang begitu tapi saya tahu....memuji kadang-kadang lebih merugikan...sebab kita yang memuji mendatangkan rasa ujub dan riak dalam diri orang lain yang secara tak langsung mungkin boleh menambahkan dosa dan mengurangkan rasa ikhlas dalam diri seseorang....memuji ada masanya memberikan sedikit kebaikan ..bila mana seseorang itu menjadi lebih rajin, lebih berusaha dan sebagainya..wallah hu a'lam.

Seumur hidup saya hanya sekali, dua sahaja abah marah saya...tapi banyak kali saya dimarahi oleh emak....kadang-kadang saya dimarahi hanya kerana perkara kecil atau kadang-kadang saya dimarahi kerana perbuatan adik beradik lain....ada hikmah di sebaliknya. Bila mak marah saya, saya akan ikut solat berjamaah di belakang abah...ermm . Hari tu dalam facebook, pensyarah adik bongsu saya, Dr. Noriah bertanya pada adik bongsu saya, adakah saya dan adik saya nombor lima adalah kakak-kakak adik bongsu saya....adik bongsu saya jawab,"Ya". Lalu memperkenalkan kami kepada Dr. Noriah...saya baca apa yang adik saya tulis...adik bongsu saya kata,"saya macam mak-mak sikit"...saya tersenyum membacanya....Memang saya macam mak-mak....ada beberapa sikap yang saya warisi daripada aruah mak dan abah saya. Sikap mak saya yang sangat perisau, sikap mak yang tak suka bertandang ke rumah orang dan suka beli barang-barang plastik. Sikap abah saya yang tak banyak cakap, sikap abah saya yang sangat tegas. Sikap yang sama antara mak dan abah yang saya warisi iaitu berkebolehan dalam memasak dan menguruskan urusan rumah.

Perbezaan dan persamaan antara emak dan abah saya...

1. Emak banyak bercakap..abah tidak

2. Emak selalu marah...abah tidak

3. Abah garang lebih tapi mak kurang sikit garangnya

4. Emak perisau dan suka tunjukkan kerisauannya, abah perisau tapi kurang menunjukan kerisauannya.

5. Emak pandai masak, abah pun pandai masak

6. Emak rajin, abah pun rajin

7. Emak tak suka berjalan (terutama pergi rumah orang sekalipun rumah adik beradik sendiri), abah suka berjalan.

8. Abah lebih suka membeli belah dan berbelanja dalam kuantiti besar dan mahal, beli periuk-periuk besarlah, perabutlah, pinggan mangkuklah..emak saya suka berbelanja dalam kuantiti kecil dan sederhana mengikut keperluan, emak suka beli barang plastik macam besen, baldi, gayung, bekas-bekas makanan, tumbler.

9. Emak suka pergi kelantan dan terengganu,begitu juga abah...mereka sangat suka membeli belah di sini.

10. Emak suka bawa balik roti dari sekolah untuk saya, abah tak.

11. Emak boleh makan ikan apa-apa sahaja kecuali ikan darat (ikan sungai arr), abah hanya makan ikan merah, jenahak, tebal pipi, beliak mata, ikan parang, gelama, kasih madu, ikan mesia, tamban, abah pun tak makan ikan darat.

12. Emak suka makan sayur rebung jeruk, tauge, meranti, dan banyak lagi. Abah  Abah lebih suka kobis bunga, brokoli, cendawan, meranti, asparagus dan abah tak makan rebung jeruk.

13. Abah suka kuih-kuih manis, mak tak kisah sangat tentang kuih.

14. Abah suka duduk di warung, mak tak suka abah duduk di warung.

15. Abah suka hisap rokok, mak tak suka abah hisap rokok.

16. Emak suka pergi pasar, abah pun suka pergi pasar.

17. Abah suka makan buah-buahan. Hari-hari mesti ada jer abah beli buah jika bekalan buah di rumah sudah habis. Mak tak kisah sangat..ada mak makan, tak ada mak tak kisah.

18. Mak buat baju sikit jer tapi abah kalau buat baju banyak helai. Baju abah lebih banyak daripada baju emak saya. Saya ikut abah juga bab ni..saya suka beli kain dan buat baju baru.

19. Abah sangat dikenali di tempat saya, emak low profile dan agak malu untuk bercampur gaul dengan orang kampung. Selalunya emak pergi rumah jiran dan rumah saudara mara sekeliling rumah je. Kalau kenduri kahwin baru mak pergi rumah orang kampung.

20. Emak akan menulis di meja, sedangkan abah lebih suka menulis sambil meniarap. Adik-adik saya yang suka menulis atau membuat kerja sambil meniarap ialah Dita @ hidayah, adik gemuk, adik bongsu dan abang saya. Saya, Ain, Akbar lebih suka menulis di meja.

Ada banyak lagi tentang emak dan abah saya, lain kali saya cerita...tahun ni buat pertama kalinya saya dan adik beradik beraya tanpa abah...buat pertama kalinya saya dan adik beradik beraya sebagai anak yatim piatu...

Petang Khamis, saya pergi membeli belah bahan-bahan untuk memasak..saya beli belah kali kedua...Hari tu adik lelaki nombor 3, bagi saya duit, saya gunakan duit tu untuk beli barang-barang dapur sebagai persiapan hari raya. Saya tak nak beli belah lewat sangat sebab nanti jalan semua jem, kereta terlalu banyak, pasar terlalu ramai dengan manusia. Saya tak suka tempat yang sesak. Kelmarin saya pergi Econsave tapi tak ada tempat nak parkir kereta, sudahnya saya balik je. Saya pergi lagi sebaik sahaja balik sekolah pada keesokan harinya. Alhamdulillah tak ada orang sangat ketika saya sampai tapi bila saya keluar keadaan tempat letak kereta sudah penuh. Saya jumpa beberapa orang kenalan yang sama tujuan seperti saya dalam Econsave tu seperti cikgu Zakaria dan isteri, dan seorang anak murid saya yang datang bersama ibunya yang juga kenalan saya.

Kuih raya memang tak buat dah ..saya dah tak ada mood untuk buat kuih raya sejak beberapa tahun dulu lagi. Mungkin nanti bila saya beli oven besar baru saya mula buat kuih semua, insya'Allah. Semuanya beli saja...adik bongsu saya bawa balik kerepek dari Shah Alam. Saya beli kek lapis sikit dan kuih tart daripada adik sepupu saya Geff. Beli kek kukus di pasar tani..

Balik dari bandar saya terus ke kubur abah dan emak pada petang Khamis tu, dalam perjalanan balik..ketika sampai simpang keluar jalan kubur...saya nampak ada dua orang bersongkok tepi simpang...ermm ada kematian hari ni... sama seperti aruah mak saya yang meninggal pada bulan Ramadan tahun 2001 beberapa tahun dulu. Di jalan besar saya berselisih dengan kenderaan jenazah...ermm betul telahan saya.

Mood raya tak datang lagi...rumah pun tak berkemas ..adik bongsu yang sibuk mengemas. Petang Khamis, saya panggil tukang potong rumput. Pagi Jumaat adik bongsu mengemas sana sini. Malam tadi, sewaktu saya tersedar jam 1.30 pagi..adik bongsu sedang menganyam sarung ketupat. Kesian dia. Hari ni Dita balik kampung, Ain dan adik ipar akan balik petang hari raya selepas ke rumah ibu mertuanya di Kuala Pilah. Adik lelaki nombor tiga ada di rumah mertuanya di Melaka...tak tahu akan sampai ke rumah Parit Jawa pukul berapa. Malam tadi bekas pelajar saya Izzaty, datang menghantar ketupat dan lauk pauk, ada kek juga. Banyak mak dia bagi...Izzaty memberi saya sebuah kitab yang tebal dan berkulit keras seperti sebuah tesis master bertajuk hukum hakam solat berjamaah. Terima kasih banyak pada zaty dan mak zaty yang amat bermurah hati. Ini bukan kali pertama saya dapat lauk pauk dan ketupat dari keluarga pelajar saya ni...biasanya kalau mak Zaty bagi makanan, memang banyak..ayam jer tah berapa ketul..saudara mara saya pun tak bagi sebanyak ni....tahun ni ada kek lagi...ada kitab, ada brooch lagi....alhamdulillah..semoga Allah murahkan rezeki mereka sekeluarga dan dianugerahkan kesihatan yang baik supaya mudah beribadah. Amin3x Ya Rabbal Alamin. Zaty satu-satunya anak murid saya tahun 2008 yang memilih jalan untuk meneruskan pelajaran dalam bidang pendidikan Islam walaupun dia dari aliran Sains. Saya kira dia telah memilih satu jalan yang bijak....insya'Allah. Semoga dia berjaya dengan pilihan jalannya...insya'Allah.

Daging, tulang lembu, ayam dan semua bahan masakan sudah dibeli..tapi tak sebanyak dulu. Dulu abah yang keluarkan belanja ..saya tambah sikit-sikit jer. Kali ni saya banyak uruskan. Kalau boleh tahun ni tak nak bagi duit raya..sebab kocek dah kering. ehehhee tapi tak tahu lah.

Hari ni, hari tersibuk. Petang nanti dah nak masak lauk hari Raya...esok Ahad kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Sebelum cuti sekolah, hari terakhir kami semua bersalam-salam bersama pelajar-pelajar dan guru-guru. Adatlah hidup...kalau tak kita menyakiti hati orang, orang yang akan menyakiti hati kita. Sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita mahu mengakuinya atau tidak tapi itulah hakikatnya. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Cuma biasanya hati saya disakiti orang. Biarlah...

Sempena hari raya Aidil Fitri pada hari esok, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya maaf zahir batin pada semua rakan-rakan pembaca blog saya di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, USA, Jepun, Britain, dan di mana-mana sahaja.  Hati-hati memandu bila berziarah dan jangan lupa menjengah ibu bapa dan saudara mara jika berdaya. Saya akan kembali lagi dengan cerita baru jika keadaan mengizinkan ..insya'Allah.

"Hargailah apa yang kita ada sebelum nikmat itu diambil semula oleh Khalik Yang Maha Esa"...

 

   6 comments

Name
September 22, 2009   10:55 PM PDT
 
salams buat cikguizza,
kalau kocek dh kering...???
siram ajerk dgn air nnti dia akan basah kembali ehehehe...
SELAMAT HARI RAYA,
maaf zahir batin
jiran
September 25, 2009   06:12 PM PDT
 
selamat hariraya...
setiap yg datang akan pergi...
yg pergi xakn kembali...
semunye milik Yang Khalik.
kita juga akan pergi.....
maaf zahir dan batin
cikguizza
September 27, 2009   05:10 PM PDT
 
hehehe ermm kocek kering siram air...betul jugak tu...tp saya kalau siram air...saya nangis arr ...dah arr kocek kering..kena siram lagi dengan air ehhehe selamat hari raya juga daripada saya.

Jiran,
betul tu... selamat hari raya maaf zahir batin daripada saya...ermm ni jiran saya yang mana satu ehehhe
aDmiN
September 28, 2009   10:38 PM PDT
 
Salam... slam aidlfitri cikgu
tabahkan hati cikgu hari raya thn ni... nasib baik ada adik beradik dan anak2 murid temankan cikgu ni :-)
ap
October 9, 2009   02:26 PM PDT
 
Terlanjur kata
terlampau cara
mohon maaf dipinta

Selamat Hari RAYA

Lalu depan rumah Cikgu On THe Way balik BP. Nampak Meriah
cikguizza
October 11, 2009   05:34 PM PDT
 
terima kasih semua, selamat hari raya

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments